BH Online
Ringkasan Berita

Pandu melulu di Lebuh Raya Persekutuan: Pemandu Perodua Kembara, isteri ditahan

PETALING JAYA: Lelaki yang disyaki memandu sebuah Perodua Kembara secara melulu di Lebuh Raya Persekutuan sebagaimana paparan rakaman video tular, baru-baru ini, berjaya ditahan bersama isterinya, di sini, semalam.
Pandu melulu di Lebuh Raya Persekutuan: Pemandu Perodua Kembara, isteri ditahan

Keratan berita disiarkan BH Online

PETALING JAYA: Lelaki yang disyaki memandu sebuah Perodua Kembara secara melulu di Lebuh Raya Persekutuan sebagaimana paparan rakaman video tular, baru-baru ini, berjaya ditahan bersama isterinya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat, berkata pasangan warga tempatan dalam lingkungan umur 50-an itu ditahan pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) kira-kira jam 9 malam tadi.

"Majistret telah membenarkan perintah reman ke atas pemandu itu selama empat hari bermula hari ini hingga 5 Julai, manakala isterinya dilepaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan selesai.

"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan arahan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau sekali gus menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang jalan raya, bagi menjaga keselamatan semua pengguna.

Beberapa klip video tular dalam media sosial, baru-baru ini, memaparkan sebuah Perodua Kembara dipandu secara melulu di Lebuh Raya Persekutuan sebelum seorang lelaki berbaju merah dipercayai pemandu kenderaan itu dirakam melemparkan kata-kata cacian.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang mengesan pemandu sebuah Perodua Kembara yang melarikan diri selepas disyaki memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan di Lebuh Raya Persekutuan pada 20 Jun lalu.

Shamsudin dipetik berkata, BSPT Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya mengesan insiden itu melalui satu rakaman video tular dalam media sosial, Ahad lalu.

Beliau dilaporkan berkata, Perodua Kembara itu disyaki dipandu secara berbahaya sebelum berlaku perlanggaran dengan sebuah kereta serta motosikal sehingga menyebabkan penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Shamsudin turut dilapor memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Video Terkini

Berita Berkaitan