KAJANG: Punca kematian wanita yang mayatnya ditemukan dalam bagasi di Taman Impian Indah, di sini, disahkan adalah akibat luka tetakan pada kepala.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, dengan proses bedah siasat ke atas mayat selesai jam 6.20 petang semalam.
"Polis mengesahkan tiada sebarang kesan kerat atau bahagian anggota badan mayat terpisah.
"Siasatan juga mendapati rumah lokasi kejadian disewakan kepada suami isteri warga asing sejak Februari lalu," katanga melalui kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga mahupun pekerja, untuk segera tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Nur Ayuni Abd Aziz di talian 016-2080717.
Semalam, media melaporkan misteri bau busuk dalam sebuah rumah di Taman Impian Indah di sini membongkar penemuan satu mayat dalam bagasi kelmarin.
Laporan kes itu diterima pihaknya jam 8.37 malam.
























