KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditahan polis bagi membantu siasatan kes khianat bakar motosikal milik rakannya, dipercayai berpunca akibat isu hutang, di Flat Sri Johor, di sini Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rusdi Daud, berkata suspek berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) D7, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras hasil maklumat dan risikan pihak berkuasa.
"Bertindak atas maklumat, serbuan dilakukan di hadapan sebuah kediaman di kawasan Desa Pandan, Kuala Lumpur pada 27 Jun lalu (Sabtu), kira-kira jam 8.29 malam dan menahan suspek.
"Tangkapan ini adalah susulan daripada satu kejadian khianat dengan api membabitkan sebuah motosikal di Flat Sri Johor yang dilaporkan berlaku pada 24 Jun, sekitar jam 1.30 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana mempunyai isu hutang dengan mangsa.
"Kes kini sedang disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan perbuatan khianat dengan api. Jika sabit kesalahan, suspek boleh berdepan hukuman penjara dan juga denda.
Bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan secara menyeluruh, suspek kini dikenakan perintah tahanan reman selama empat hari sehingga 1 Julai ini," katanya.
























