KUALA NERUS: Sebanyak 8,711 kes jenayah kekerasan dan harta benda dilaporkan di seluruh Terengganu dalam tempoh lima tahun bermula 2021.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kes pecah rumah membabitkan siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 2,168 kes.
Katanya, kes mencuri mencatatkan jumlah sebanyak 1,757, menceroboh bangunan dan kediaman (1,175) dan jumlahkes ugutan jenayah sebanyak 1,022 kes.
"Setakat ini tiada kes bunuh dan samun menggunakan senjata api dilaporkan.
"PDRM negeri juga turut menerima laporan membabitkan kecederaan tanpa senjata, keganasan rumah tangga, khianat, ceroboh, pencerobohan rumah serta ugutan jenayah secara sembunyi nama," katanya.
Terdahulu, Mohd Khairi merasmikan program Town Hall soal jawab isu keselamatan kejiranan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini ,hari ini.
Yang turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor UniSZA, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Hafiz Yusoff @ Che Abdullah.
Mengulas lanjut, Mohd Khairi Khairuddin berkata, siasatan dilakukan menunjukkan sebahagian besar kes yang berlaku mempunyai kaitan langsung dengan aspek keselamatan kejiranan dan persekitaran komuniti.
"Kes pecah rumah menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa , tetapi dikategorikan sebagai bermusim terutama pada musim cuti perayaan.
"Peranan jiran yang saling membantu, berkongsi maklumat jenayah dan bertindak secara kolektif dalam menjaga kawasan kediaman masing-masing mampu mengurangkan risiko jenayah," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Khairi berkata, polis juga boleh menggunakan peruntukan mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil kepada individu yang berpotensi mencetuskan gangguan keamanan.
Katanya, peruntukan itu bagi membolehkan Mahkamahn mengarahkan seseorang melaksanakan bon, dengan atau tanpa penjamin, bagi memelihara keamanan untuk tempoh tidak melebihi enam bulan.
"Banyak pertikaian antara jiran menjadi semakin serius kerana penduduk beranggapan pihak polis hanya boleh bertindak apabila berlaku kerosakan harta benda atau serangan fizikal.
"Walaupun keganasan disiasat sebagai suatu jenayah, polis juga boleh menggunakan Seksyen 67 bagi mencegah sesuatu keadaan daripada menjadi lebih serius atau bertukar kepada keganasan," katanya.
Mohd Khairi berkata, pencegahan jenayah memerlukan pembabitansemua pihak melalui sikap prihatin kepada keadaan sekeliling.
























