KINABATANGAN: Pemandu lelaki yang maut apabila pikap dinaiki bersama isterinya terbabas ke dalam parit di tepi jalan Kampung Paris 2, Jalan Sandakan-Lahad Datu, hari ini, dikatakan tiba-tiba mengerang kesakitan sebelum kemalangan berlaku.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika pasangan itu dalam perjalanan pulang ke Lahad Datu selepas melawat kebun.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan D Ravi, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa tiba-tiba mengerang kesakitan setiba di lokasi sebelum pikap berkenaan terbabas ke dalam parit.
"Menurut isteri mangsa, lelaki itu mempunyai sejarah kesihatan, termasuk menghidap penyakit darah tinggi serta jantung, dan masih menerima rawatan," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut, manakala isterinya yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.
"Siasatan masih diteruskan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan nanti," katanya.
























