BH Online
Ringkasan Berita

KTMB tahan dua lelaki disyaki curi kabel di laluan Kedah Line, Tasik Subang Jaya

KUALA LUMPUR: Polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel dalam dua operasi berasingan di laluan Kedah Line dan Tasik Subang Jaya, hari ini.
KTMB tahan dua lelaki disyaki curi kabel di laluan Kedah Line, Tasik Subang Jaya

Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Polis bantuan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menahan dua lelaki disyaki terbabit dalam kegiatan mencuri kabel dalam dua operasi berasingan di laluan Kedah Line dan Tasik Subang Jaya, hari ini.

KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, dalam operasi itu pihaknya turut merampas pelbagai barangan termasuk kabel milik KTMB yang sudah dipotong, peralatan dan kenderaan disyaki digunakan mencuri.

Katanya, sebelum penahanan dilakukan di Kampung Lubuk Batu, Kedah Line iaitu Kilometer 10.30 laluan Tasek Gelugor-Sungai Petani itu, polis bantuan terbabit sedang membuat rondaan apabila melihat dua lelaki yang mencurigakan di kawasan landasan.

"Kedua-dua suspek cuba melarikan diri ketika pemeriksaan, namun seorang daripadanya berjaya ditahan.

"Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan beberapa barangan termasuk gunting pemotong berwarna hijau, lampu suluh serta kabel elektrik milik KTMB jenis CABLF 600/1000 VMS 274-1995 2C Ă— 6SQ milimeter (mm) sepanjang kira-kira 150 meter yang dipercayai sudah dipotong dan dicuri," kata kenyataan itu yang dikeluarkan malam ini.

Dalam kes berasingan di Tasik Subang Jaya, KTMB berkata, polis bantuan terbabit menerima laporan mengenai kecurian kabel sebelum segera ke lokasi dan menemui dua lelaki di kawasan landasan di KM 14.706.

Katanya, seorang daripadanya berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan di lokasi menemui kabel yang telah dipotong dan dua kenderaan disyaki digunakan iaitu Perodua Myvi putih dan Proton Wira kelabu.

"Pengesahan pasukan Semboyan Kuala Lumpur mendapati kabel yang dipotong melibatkan kabel 28 pasang, 14 pasang, 4 teras 16 mm² dan 4 teras 2.5 mm² yang masing-masing sepanjang kira-kira 50 meter," katanya.

KTMB berkata, semua suspek bersama barang kes diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, perbuatan menceroboh dan merosakkan infrastruktur kereta api adalah kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

"KTMB melalui polis bantuan dengan kerjasama PDRM akan terus mempergiat rondaan keselamatan bagi memastikan keselamatan landasan dan kelancaran operasi tren sentiasa terjamin.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 (24 jam) atau terus kepada PDRM," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan