KINABATANGAN: Seorang lelaki maut, manakala isterinya cedera apabila pikap dinaiki mereka terbabas ke dalam parit di tepi jalan Kampung Paris 2, di sini, hari ini.
Pemandu kenderaan terbabit, Salim Dudul, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kemalangan kira-kira jam 1 tengah hari itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Suriyadi Darwis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.06 tengah hari berhubung insiden itu.
Susulan itu, katanya, lima anggota bersama jentera bergegas ke lokasi yang terletak kira-kira 50 kilometer (km) dari BBP berkenaan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian berjaya dikeluarkan dari kenderaan terbabit.
"Bagaimanapun, pemandu lelaki disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
"Mangsa cedera yang berusia 53 tahun pula dibawa ke Hospital Lahad Datu dengan menggunakan kenderaan keluarganya sendiri," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 3.15 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
Punca kejadian masih dalam siasatan.











_b91778b5da5b4b9abbc44055b3ace01e_1782647410.jpg)












