BH Online
Ringkasan Berita

Cuba lari daripada polis, rempuh kenderaan lain: 2 penagih dadah direman 5 hari

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai penagih dadah, direman lima hari selepas ditahan susulan kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kuching di sini, kelmarin, ketika mereka cuba melarikan diri daripada polis.
Cuba lari daripada polis, rempuh kenderaan lain: 2 penagih dadah direman 5 hari

(Gambar fail) Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus. - NSTP/ASWADI ALIAS

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai penagih dadah, direman lima hari selepas ditahan susulan kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kuching di sini, kelmarin, ketika mereka cuba melarikan diri daripada polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata kedua-dua suspek terbabit direman mulai semalam hingga Rabu depan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati dadah dijumpai dalam kejadian itu dipercayai adalah untuk kegunaan sendiri.

"Hasil pemeriksaan dijalankan, pihak polis telah menjumpai dadah disyaki heroin seberat 19.63 gram.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

"Setakat ini, kes masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, media melaporkan dua lelaki dipercayai penagih dadah panik melihat kehadiran anggota polis sebelum Perodua Viva dinaiki mereka merempuh beberapa kenderaan di Jalan Kuching dalam usaha suspek untuk melarikan diri.

Bagaimanapun, kedua-dua suspek berusia 40 dan 42 tahun itu berjaya ditahan polis di lokasi kejadian.

Fadil dipetik berkata, insiden kira-kira jam 5.30 petang kelmarin berlaku ketika sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, sedang menjalankan rondaan sebelum mengesan sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan di Wangsa Maju.

Video Terkini

Berita Berkaitan