TEMERLOH: Seorang guru lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes amang seksual membabitkan seorang murid berusia 14 tahun di daerah ini, susulan laporan dibuat ibu mangsa 15 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata pihaknya mengesan satu hantaran tular di media sosial hari ini berkaitan kes berkenaan sebelum mengesahkan siasatan sedang dijalankan.
Katanya, laporan polis dibuat oleh seorang wanita berusia 38 tahun yang memaklumkan anak lelakinya mendakwa menjadi mangsa gangguan amang seksual.
"Menurut laporan, kejadian dipercayai berlaku di sebuah rumah di kawasan Kuala Krau dengan mangsa mendakwa gangguan itu berlaku sejak tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan media.
Mohd Nasyim berkata, susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh menjalankan siasatan sebelum menahan seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga seorang guru di sebuah sekolah di daerah ini pada 16 Jun lalu.
Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk merakam perbuatan amang seksual itu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan," katanya.
Mohd Nasyim menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang boleh menjejaskan siasatan.
























