BH Online
Ringkasan Berita

Lelaki maut tercampak dan jatuh dari jejambat

KUALA LUMPUR: Penunggang motosikal maut selepas terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 30 meter (m) dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 15.8 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) dari arah Setiawangsa menghala ke Sungai Besi, di sini, hari ini.
Lelaki maut tercampak dan jatuh dari jejambat

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Penunggang motosikal maut selepas terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 30 meter (m) dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 15.8 Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) dari arah Setiawangsa menghala ke Sungai Besi, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan pada 4.40 petang itu, mangsa berusia 31 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terjatuh dari jejambat akibat dilanggar kereta ketika berteduh daripada hujan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan membabitkan sebuah Proton X50 dan dua motosikal.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Proton X50 yang dipandu wanita tempatan berusia 21 tahun dipercayai hilang kawalan ketika hujan lebat sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar dua motosikal yang sedang berteduh di bawah jejambat berkenaan.

"Kemalangan itu menyebabkan seorang lelaki tempatan tercampak dan jatuh kira-kira 30 meter ke bawah jejambat sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Seorang lagi penunggang motosikal dan pemboncengnya masing-masing lelaki tempatan berusia 18 tahun cedera di muka dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Katanya, pemandu kereta berkenaan tidak cedera dan bacaan ujian saringan alkohol yang dilakukan terhadapnya mendapati negatif.

"Pemandu berkenaan ditahan bagi membantu siasatan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk menjalani ujian saringan air kencing.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mohd Zamzuri berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan lanjut.

Video Terkini

Berita Berkaitan