BH Online
Ringkasan Berita

MPKS tutup 2 kilang kitar semula plastik

KUALA SELANGOR: Dua kilang memproses barang kitar semula plastik diarah tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran, hari ini.
MPKS tutup 2 kilang kitar semula plastik

Dua kilang memproses barang kitar semula plastik di sekitar Jeram diarah tutup serta-merta oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran. - Foto ihsan FB MPKS

KUALA SELANGOR: Dua kilang memproses barang kitar semula plastik diarah tutup serta-merta selepas didapati beroperasi tanpa kebenaran, hari ini.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dalam kenyataan berkata, pihaknya menerusi Jabatan Penguatkuasa menjalankan operasi bersepadu bermula jam 9 pagi hingga 2 petang tadi di sekitar Jeram, di sini.

Turut memberi kerjasama, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Selangor, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kuala Selangor.

"Operasi ini membabitkan 26 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi bertujuan membanteras aktiviti kilang memproses barangan kitar semula plastik yang beroperasi tanpa kebenaran di samping memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan, peraturan bangunan serta perundangan yang berkuat kuasa.

"Hasil pemeriksaan mendapati dua premis beroperasi tanpa lesen yang sah dan dikenakan kompaun selain diarah menghentikan operasi," katanya.

MPKS berkata, pihaknya juga menyita pelbagai peralatan dan jentera yang digunakan seperti forklift, mesin penimbang digital, mesin jahit guni elektrik, pam air, tong gas oksigen, set kimpalan dan 'manual jack'.

"Jabatan Kawalan Bangunan mengeluarkan dua Notis Pemberitahuan dan Tawaran Kompaun di bawah Seksyen 70(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) atas kesalahan berkaitan kawalan bangunan.

"PDT Kuala Selangor pula menjalankan semakan status lot tanah serta membantu kelancaran operasi di lapangan.

"Air Selangor melaksanakan tindakan berkaitan semakan serta pemotongan dan rampasan meter air manakala TNB menjalankan semakan pemilikan meter elektrik dan mengeluarkan notis pemotongan meter selepas menerima permohonan daripada MPKS." katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan kedua-dua premis terbabit didapati sedang beroperasi dengan dua sitaan direkodkan selain empat kompaun dan empat notis dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan.

"MPKS turut menyeru semua pengusaha supaya mematuhi syarat pelesenan dan peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan diambil," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan