KAJANG: Kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut selepas dipercayai terjatuh ketika sedang mandi di bilik air rumahnya di Taman Bukit Segar, Cheras, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu jam 9.01 malam daripada Jabatan Kecemasan Zon Merah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, selepas mangsa dibawa ke sana oleh ahli keluarganya.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 5 petang semalam, di mana mangsa dikatakan terjatuh semasa sedang mandi di bilik air rumahnya dan mengalami kecederaan.
"Mangsa dibawa ke Unit Forensik HCTM UKM untuk tujuan bedah siasat dan punca kematian masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.




















