BH Online
Ringkasan Berita

2 beradik ditahan jadikan rumah pusaka transit dadah, bunga ganja RM1.76 juta dirampas

KUALA TERENGGANU: Taktik dua beradik menjadikan rumah pusaka peninggalan orang tua mereka di Duyong Besar, di sini, sebagai lokasi transit dan penyimpanan bunga ganja terbongkar selepas premis itu diserbu polis pada 14 Jun lalu.
2 beradik ditahan jadikan rumah pusaka transit dadah, bunga ganja RM1.76 juta dirampas

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin menunjukkan dadah jenis bunga ganja seberat 22 kilogram yang bernilai 1.76 juta semasa sidang media di IPK Terengganu. - NSTP/GHAZALI KORI

KUALA TERENGGANU: Taktik dua beradik menjadikan rumah pusaka peninggalan orang tua mereka di Duyong Besar, di sini, sebagai lokasi transit dan penyimpanan bunga ganja terbongkar selepas premis itu diserbu polis pada 14 Jun lalu.

Dalam operasi kira-kira jam 3.30 petang itu, dua beradik berusia 39 dan 50 tahun itu ditahan, dengan polis turut merampas 22 kilogram bunga ganja dianggar bernilai RM1.76 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata dalam serbuan pertama polis merampas dadah yang dipercayai disimpan sementara di rumah berkenaan sebelum diseludup ke pasaran antarabangsa.

Serbuan kedua pula katanya, dilakukan di hadapan sebuah rumah di lokasi sama membabitkan suspek kedua, namun pemeriksaan tidak menemui sebarang barang salah.

"Hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dalam sindiket yang aktif sejak Mac lalu.

"Rumah dipercayai dijadikan lokasi transit bagi menyimpan bekalan bunga ganja dipercayai diseludup masuk melalui laluan laut sebelum dihantar ke pasaran antarabangsa," katanya pada sidang media, hari ini.

Siasatan awal mendapati bunga ganja itu dipercayai untuk diproses menjadi cecair untuk digunakan dalam rokok elektronik atau vape.

Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, dengan seorang daripada mereka mempunyai 13 rekod kesalahan berkaitan dadah.

Kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 15 Jun hingga 21 Jun sebelum reman disambung tujuh hari lagi bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali jika sabit kesalahan.

Mohd Khairi berkata polis turut menyita sebuah kereta Hyundai, tiga motosikal iaitu BMW R100, Yamaha NVX dan Yamaha 135LC serta wang tunai RM6,000 dalam serbuan itu.

Video Terkini

Berita Berkaitan