BH Online
Ringkasan Berita

Mangsa kemalangan bakal mendirikan rumah tangga minggu depan

TEMERLOH: Hasrat Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, untuk mendirikan rumah tangga minggu depan tidak kesampaian apabila dia bersama adiknya, Dinie Nasuha, 19, maut dalam kemalangan jalan raya.
Mangsa kemalangan bakal mendirikan rumah tangga minggu depan

Gambar kenangan Allahyarhamah Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy (kiri) bersama adiknya, Dinie Nasuha Noor Azlan Efenddy, yang tular di media sosial selepas mereka meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. - Foto ihsan IPD Maran

TEMERLOH: Hasrat Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, untuk mendirikan rumah tangga minggu depan tidak kesampaian apabila dia bersama adiknya, Dinie Nasuha, 19, maut dalam kemalangan jalan raya.

Ahmad Samadi Ibrahim, 55, yang juga saudara kepada keluarga mangsa, berkata berita tragis itu diterimanya kira-kira jam 8 malam tadi selepas dimaklumkan oleh adiknya yang bekerja sebagai pemandu ambulans.

Menurutnya, arwah Dinie Hanis sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada 26 Jun ini dan segala persiapan majlis sudah siap sepenuhnya.

"Arwah baru pulang dari Kelantan untuk menjemput saudara-mara sempena majlis perkahwinannya. Dia kemudian meneruskan rutin berniaga seperti biasa sebelum tragedi itu berlaku.

"Semua persiapan kahwin sudah siap. Kami sekeluarga memang terkejut apabila menerima berita pemergiannya," katanya ketika ditemui di rumah.

hm413dinie
Gambar kenangan Allahyarhamah Dinie Hanis (tengah) bersama adik-beradiknya yang tular di media sosial selepas beliau dan adiknya, Dinie Nasuha meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. - Foto ihsan pembaca

Beliau berkata, kedua-dua beradik itu terkenal sebagai anak yang rajin bekerja dan banyak membantu keluarga selepas kematian bapa mereka yang pernah bertugas sebagai pemandu di Pejabat Agama Temerloh.

Menurutnya, arwah bersama adik-beradik lain mengusahakan perniagaan makanan dan kuih-muih di beberapa lokasi termasuk Bandar Pusat Jengka, Temerloh Jaya dan Simpang Jengka.

"Mereka memang kuat bekerja. Sejak kecil lagi membantu ibu berniaga. Selepas ayah meninggal dunia, mereka menjadi antara tonggak mencari rezeki untuk keluarga.

"Arwah Hanis juga seorang yang ceria dan mudah mesra. Ramai pelanggan mengenalinya kerana dia sering berniaga di pasar hari dan tapak jualan sekitar kawasan ini," katanya.

hm413tembung
Dua beradik perempuan maut selepas kenderaan jenis Toyota Unser yang mereka naiki terbalik di Jalan Besar Jengka 19 di Maran. - Foto ihsan JBPM

Tambah Ahmad Samadi, kali terakhir beliau bertemu kedua-dua mangsa adalah kira-kira dua minggu lalu di pasar malam sebelum masing-masing meneruskan urusan harian seperti biasa.

Jenazah kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gau, di sini, dalam suasana pilu yang diselubungi kesedihan ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat.

Pemergian mereka bukan sahaja meninggalkan luka mendalam kepada keluarga, malah mengundang rasa hiba dalam kalangan masyarakat setempat yang mengenali kedua-dua beradik itu sebagai insan yang rajin, berdikari dan sentiasa membantu keluarga.

Lagi berita berkaitan:

2 beradik maut nahas jalan raya

Video Terkini

Berita Berkaitan