DUNGUN : Seorang warga emas cedera parah selepas dipukul oleh ahli keluarganya dengan menggunakan tukul di Kampung Kuala Abang, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.55 petang, yang menyebabkan mangsa berusia 79 tahun itu terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Menurutnya. sebelum kejadian, mangsa yang tinggal bersama suspek yang berusia 25 tahun itu dikatakan menghalang suspek ketika cuba keluar dari rumah itu.
"Berikutan itu berlaku pertengkaran antara mangsa dan suspek sebelum mangsa ditolak lalu dipukul dengan tukul.
"Mangsa yang cedera di bahagian kepala itu dibawa ke Hospital Dungun untuk menerima rawatan lanjut," katanya.
Ab Halim berkata, polis kemudian menahan suspek yang mempunyai kad pesakit mental dan merampas satu unit tukul besi yang dipercayai digunakan dalam serangan itu.
"Suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapat permohonan reman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah.
"Mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Dungun dan sebarang maklumat berkaitan kejadian itu boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.
























