BH Online
Ringkasan Berita

Pemilik kilang kayu haram antara 5 individu ditahan, rampasan RM1.69 juta

GUA MUSANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan lima individu termasuk seorang wanita di kilang kayu haram yang dipercayai baru beroperasi selama sebulan di Kampung Sungai Bayu, di sini, semalam.
Pemilik kilang kayu haram antara 5 individu ditahan, rampasan RM1.69 juta

Kayu yang dirampas PGA dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Sungai Bayu. - Foto ihsan PGA

GUA MUSANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan lima individu termasuk seorang wanita di kilang kayu haram yang dipercayai baru beroperasi selama sebulan di Kampung Sungai Bayu, di sini, semalam.

Serbuan jam 4 petang dalam Op Taring Wawasan Kelantan itu turut merampas kayu, kenderaan, mesin dan jentera yang dianggarkan bernilai lebih RM1.69 juta.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain, berkata serbuan dilakukan oleh PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Jajahan Machang.

"Ketika serbuan dijalankan, pihak kami menahan sebuah lori yang keluar dari kawasan kilang dengan muatan kayu serta beberapa individu yang sedang menjalankan kerja pemprosesan kayu di dalam premis berkenaan.

"Terdapat seorang lelaki membawa jentera berat dengan membawa muatan kayu ke mesin bandsaw dan dua lelaki sedang memotong kayu di dalam kilang.

"Pemilik juga gagal mengemukakan lesen kebenaran pengoperasian kilang dari pihak Jabatan Perhutanan dan kilang dipercayai beroperasi secara haram," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Ahmad Radzi berkata, hasil semakan Jabatan Perhutanan Jajahan Machang juga mengesahkan kayu-kayu yang berada di kawasan kilang terbabit dipercayai tidak bercukai serta mesin-mesin dan jentera beroperasi secara haram.

Katanya, pemilik kilang terbabit yang juga seorang wanita tempatan berusia 47 tahun mengaku mengendalikan operasi terbabit kira-kira sebulan lalu.

"Menurut wanita terbabit sebelum ini kawasan itu disewakan kepada kenalan suaminya yang juga menjalankan pengoperasian kilang kayu haram.

"Pemeriksaan lanjut di kawasan kilang menemukan pelbagai peralatan termasuk dua mesin bandsaw (gergaji pita) dan jentera berat serta ribuan batang kayu pelbagai spesies dan saiz.

"Sebanyak 2,100 batang kayu siap, 307 batang kayu bulat dan lima bundle kayu selinap berjaya dirampas. Nilai keseluruhan rampasan termasuk jentera dan kenderaan dianggarkan berjumlah RM1.69 juta," katanya.

Ahmad Radzi berkata, kesemua individu yang ditahan bersama barang rampasan sudah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Jajahan Machang untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 3(2) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1985.

Katanya, siasatan awal juga mendapati bekalan kayu dipercayai diperoleh daripada sumber tidak sah di kawasan sekitar dan hasil kayu yang diproses dijual kepada pembeli tertentu.

Video Terkini

Berita Berkaitan