BH Online
Ringkasan Berita

2 anggota tentera didakwa seludup masuk 3 migran Myanmar

ALOR SETAR: Dua anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyeludup masuk tiga warga Myanmar melalui sempadan Malaysia-Thailand pada bulan lalu.
2 anggota tentera didakwa seludup masuk 3 migran Myanmar

Dua anggota tentera didakwa atas pertuduhan menyeludup masuk tiga warga Myanmar melalui sempadan Malaysia-Thailand pada bulan lalu. - NSTP/M HIFZUDDIN IKHSAN

ALOR SETAR: Dua anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menyeludup masuk tiga warga Myanmar melalui sempadan Malaysia-Thailand pada bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Zulhilmi Aqwa A Rahman, 34, dan Mohamad Johan Iskandar Shah Jeffry Pidin, 26, bagaimanapun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Zulhilmi Aqwa didakwa menggunakan sebuah Toyota Yaris berwarna putih bagi mengangkut dua migran Myanmar berusia 29 serta 19 tahun yang diseludup masuk.

Mohamad Johan Iskandar Shah pula didakwa menggunakan sebuah Perodua Bezza berwarna 'maroon' untuk mengangkut seorang migran Myanmar berusia 61 yang diseludup masuk.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Check Point Foxtrot, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada jam 7.13 malam 22 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri, dan Mohd Zulhilmi Aqwa diwakili peguam, Datuk Shanmugam Ganesan, manakala Mohamad Johan Iskandar Shah tiada diwakili peguam.

Nurfatin Mastura kemudian memaklumkan tiada ikat jamin ditawarkan kepada tertuduh kerana membabitkan kesalahan bawah seksyen berkenaan.

Mahkamah menetapkan 17 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan proses serahan dokumen berkaitan.

Video Terkini

Berita Berkaitan