LIPIS: Dua lelaki maut selepas sebuah kereta bertembung dengan lori membawa muatan durian di Kilometer 18, Jalan Lipis-Benta berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata kejadian jam 9.20 malam membabitkan sebuah kereta dinaiki empat lelaki dan sebuah lori yang dalam perjalanan menghantar durian ke Kelantan.

Siasatan awal mendapati kereta dipandu Ng See Jou, 47, bersama tiga lelaki warga China dalam perjalanan dari Kelantan menuju Kuala Lumpur, lori pula dipandu seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bergerak dari Raub ke Kelantan.
"Setibanya di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara berhadapan dengan lori yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat perlanggaran itu, Ng See Jou dan seorang penumpang warga China yang masih belum dikenal pasti identitinya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya dalam kenyataan.
Pemandu lori serta dua lagi penumpang warga China cedera dan dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan.
Polis memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan.
























