LONG BEMANG (MIRI): Lebih 600 penduduk membabitkan 103 rumah di Kampung Long Bemang terjejas akibat banjir susulan hujan berterusan melanda kawasan itu sejak petang semalam.
Menurut laporan Persatuan Bomba Sukarela Long Bemang, banjir mula berlaku pada jam 3.45 petang dan setakat jam 6.44 pagi tadi, paras air mencecah lebih 0.6 meter serta menunjukkan trend meningkat.
Cuaca yang masih mendung menimbulkan kebimbangan paras air akan terus naik sekiranya hujan berterusan.
Difahamkan, antara punca utama banjir ialah hujan tanpa henti sejak beberapa hari lalu selain kedudukan sebahagian rumah penduduk yang berhampiran dengan aliran sungai.
Walaupun banjir menjejaskan ratusan penduduk, sehingga kini tiada perpindahan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dilakukan dan penduduk masih berada di kediaman masing-masing.




















