KUALA LUMPUR: Polis menahan 13 lelaki dipercayai terbabit pergaduhan berpunca pertikaian urusan hutang di sebuah premis perniagaan di Jinjang Utara, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.27 petang berhubung pergaduhan itu yang dikaitkan dengan satu video tular di media sosial.
"Bertindak atas maklumat, pasukan polis digerakkan ke lokasi bagi mengawal keadaan dan menjalankan siasatan lanjut.
"Hasil siasatan mendapati kejadian berpunca pertikaian berkaitan urusan hutang yang kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan melibatkan beberapa individu sehingga menyebabkan kecederaan," katanya melalui kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat diperoleh, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kuala Lumpur melancarkan beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, hasil operasi itu, 13 lelaki berumur antara 18 hingga 51 tahun ditahan dalam tempoh kurang 12 jam selepas kejadian.
"Semakan rekod mendapati beberapa suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah lampau.
"Semua suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini sehingga 18 Jun bagi membantu siasatan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
























