KUALA LUMPUR: Sejumlah 179 syarikat dinyahaktifkan daripada sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana melanggar syarat serta peraturan ditetapkan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata antara kesalahan termasuk tidak mematuhi had kuantiti penyimpanan dibenarkan, membuat jualan melebihi had ditetapkan, menjual minyak masak bersubsidi kepada bukan warganegara, beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh serta mempunyai nisbah belian dan jualan meragukan.
"Kementerian tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyelewengan atau ketidakpatuhan yang boleh menyebabkan ketirisan subsidi, termasuk penjualan kepada warga asing serta aktiviti mencurigakan dalam rantaian bekalan," katanya melalui kenyataan.
Sistem eCOSS membolehkan pemantauan transaksi dilakukan secara lebih menyeluruh melibatkan keseluruhan rantaian bekalan bermula daripada kilang penapisan, syarikat pembungkusan, pemborong, peruncit sehingga pengguna.
Sejak pelaksanaan rintis Mobile eCOSS pada 1 Mei 2025 sehingga 10 Jun lalu, lebih lima juta rakyat Malaysia mendaftar menggunakan aplikasi tersebut.
Dalam tempoh sama, sebanyak 91 juta peket minyak masak bersubsidi satu kilogram dijual kepada rakyat Malaysia melalui sistem berkenaan.
Dalam pada itu, Fuziah berkata KPDN menerima pelbagai aduan, maklum balas dan cadangan berkaitan sistem berkenaan sejak diperkenalkan.
Berdasarkan rekod, 13,354 aduan dan maklum balas diterima pada 2024, diikuti 5,320 aduan pada 2025 selepas aplikasi Mobile eCOSS diperkenalkan.
Bagi 2026 sehingga kini, sejumlah 9,050 aduan dan maklum balas direkodkan, selari peningkatan jumlah pengguna yang kini melebihi 5.01 juta orang.
"Peningkatan jumlah aduan itu mencerminkan pertambahan penggunaan sistem oleh rakyat serta kesediaan pengguna untuk menyalurkan maklum balas bagi tujuan penambahbaikan.
"Setiap aduan, cadangan dan pandangan yang diterima akan diteliti dan diambil tindakan sewajarnya bagi memastikan sistem eCOSS terus mesra pengguna dan berfungsi dengan lebih berkesan," katanya.
Mengulas tindakan penguatkuasaan, Fuziah berkata enam kes direkodkan Bahagian Penguat Kuasa KPDN melibatkan pelanggaran Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Penjualan dan Pembelian Barang Kawalan) [Minyak Masak] 2026.
Daripada jumlah itu, katanya tiga kes melibatkan penjualan minyak masak peket bersubsidi kepada bukan warganegara dengan nilai rampasan RM65, manakala tiga lagi kes melibatkan pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh bukan warganegara dengan nilai rampasan RM15,180 serta jumlah denda sebanyak RM7,000.
Orang ramai yang mengesyaki berlaku penyalahgunaan identiti atau transaksi mencurigakan disaran membuat laporan segera kepada KPDN melalui Portal eAduan di https://eaduan.kpdn.gov.my untuk tindakan lanjut dan aduan mengenai aplikasi Mobile eCOSS boleh dibuat melalui support_ecoss@kpdn.gov.my.
























