KEMAMAN: Dua nelayan dikhuatiri lemas, manakala seorang rakan mereka selamat selepas bot yang mereka naiki tenggelam di lokasi 27.9 batu nautika dari perairan Kemaman, awal pagi tadi.
Dua mangsa yang dikhuatiri hilang iaitu tekong bot, Azan Muda, 68, dan Nordin Mohammad, 61, manakala mangsa yang selamat, Mahadi Jusoh, 51.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli, berkata kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.30 pagi.
Beliau berkata, mangsa yang selamat ditemui bot nelayan lain yang kebetulan melalui perairan terbabit kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
"Mangsa yang selamat itu kemudiannya dibawa naik ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia LKIM di Kuantan. Mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 10 malam ini," katanya.
Mohd Razi berkata, hasil temu bual dengan mangsa, bot itu tenggelam ketika ribut kencang.
"Pencarian dua lagi nelayan itu sedang giat dijalankan pasukan penyelamat termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,"katanya.
Sementara itu, Pengarah Maritim Zon Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah, berkata sebuah bot pengalang 16 digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi pencarian kedua-dua mangsa.
Bagaimanapun beliau berkata, usaha pencarian terpaksa dihentikan sementara malam ini berikutan keadaan laut bergelora.
























