BH Online
Ringkasan Berita

Lelaki Rohingya dituduh membunuh, isteri tiada dokumen sah masuk Malaysia

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret Jawi, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki etnik sama dan mencederakan seorang wanita, bulan lalu.
Lelaki Rohingya dituduh membunuh, isteri tiada dokumen sah masuk Malaysia

Osman Bawdi Alom (kanan), Humaira dan Minara dikawal polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Jawi di Nibong Tebal, hari ini. - NSTP/Auri Faqrurazzi

NIBONG TEBAL: Seorang lelaki Rohingya didakwa di Mahkamah Majistret Jawi, di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki etnik sama dan mencederakan seorang wanita, bulan lalu.

Osman Bawdi Alom, 38, didakwa di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad dan mengangguk faham pertuduhan dikenakan, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh Abdul Rahman Shah Mia, 31, di sebuah rumah di Taman Belibis, Simpang Empat, di sini, antara jam 2.50 pagi hingga 2.54 pagi pada 31 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Osman turut dituduh mencederakan Formin Lal Mia, 26, menggunakan pisau di lokasi dan masa yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman terbabit jika disabitkan kesalahan. Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan kedua itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin, manakala tertuduh diwakili peguam, G Sathiash. Nurul Ainna menetapkan 7 Ogos depan untuk sebutan semula dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Turut dihadapkan ke mahkamah sama ialah dua wanita Rohingya, dikenali dengan nama Humaira Abd Gadir, 18, dan Minara Lal Miah, 29. Humaira ialah isteri Osman, manakala Minara adik ipar Abdul Rahman.

Mereka didakwa mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau berada di negara ini tanpa pas atau permit yang sah.

Bagaimanapun, Nurul Aininna menangguhkan kes kepada 23 Jun untuk lantikan jurubahasa Myanmar selepas kedua-dua tertuduh memberitahu mereka tidak memahami Bahasa Malaysia.

Osman, Humaira dan Minara ditahan selepas insiden tikaman yang menyebabkan Abdul Rahman meninggal dunia di tempat kejadian.

Polis sebelum ini memaklumkan siasatan awal mendapati kejadian itu dipercayai berpunca daripada pertikaian rumah tangga. Sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan turut dirampas bagi membantu siasatan.

Video Terkini

Berita Berkaitan