MIRI: Seorang lelaki berusia awal 50-an kerugian RM396,850 selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja sambilan atas talian yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya menerima laporan kes berkenaan hari ini menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah.
Katanya, mangsa mendakwa dihubungi seorang individu memperkenalkan diri sebagai `Lim' menerusi aplikasi WhatsApp sebelum menawarkan peluang menjana pendapatan dengan menguruskan pesanan pembelian pelanggan melalui sebuah platform e-dagang dalam talian.
"Mangsa dijanjikan komisen sebanyak 10 peratus bagi setiap transaksi yang berjaya diselesaikan. Bagi menyertai skim itu, mangsa dikehendaki membuat bayaran terlebih dahulu bagi setiap pesanan kononnya untuk membolehkan kilang memproses dan menghantar barangan kepada pelanggan.
"Sepanjang tempoh penglibatan, mangsa diarahkan membuat pelbagai pembayaran ke beberapa akaun bank berbeza. Walaupun keuntungan dipaparkan dalam sistem, mangsa tidak pernah berjaya mengeluarkan sebarang keuntungan kerana sentiasa diminta membuat bayaran tambahan atas pelbagai alasan," katanya.
Mohd Farhan berkata, akibat terpedaya dengan skim berkenaan, mangsa mengalami kerugian keseluruhan RM396,850 yang membabitkan wang simpanan sendiri dan pinjaman daripada ahli keluarga.
"Modus operandi seperti itu sering menggunakan konsep `task scam', `merchant scam' atau `e-commerce scam' di mana mangsa dipujuk membuat pembayaran berulang kali dengan janji memperoleh keuntungan tinggi.
"Namun, keuntungan dipaparkan hanyalah paparan dalam sistem yang dikawal sindiket dan tidak boleh dikeluarkan oleh mangsa," katanya sambil mengesahkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah mempercayai tawaran menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat selain membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
























