BUKIT MERTAJAM: Polis hari ini memperoleh perintah reman selama tujuh hari terhadap tiga warga Rohingya, termasuk dua wanita yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan lelaki etnik sama berusia 31 tahun, di sini semalam.
Perintah reman sehingga 7 Jun itu dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga individu berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu. Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di mahkamah kira-kira 9.30 pagi.
Penahanan mereka susulan kes kematian lelaki Rohingya berusia 31 tahun di sebuah rumah di Taman Belibis, di sini semalam.
Polis dimaklumkan kejadian itu pada jam 3.20 petang dan siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami beberapa luka tikaman pada badan.
Seorang wanita berusia 26 tahun, yang turut berada dalam rumah berkenaan cedera dan dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.
Polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya.

















