LANGKAWI: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di laut ketika cuba mendapatkan semula sebuah jet ski hanyut di Pantai Tengah, di sini, semalam, ditemui lemas, hari ini.
Mayat mangsa, Arash Nashran Abdul Maser, 23, dijumpai kira-kira jam 6 petang oleh orang awam yang menaiki jet ski pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin, berkata mayat dijumpai kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Beliau berkata, penemuan itu kemudian dimaklumkan kepada pasukan penyelamat sebelum mayat mangsa dibawa ke darat oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), dan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 malam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Khairul Azhar berkata, operasi SAR disambung semula pada jam 8 pagi tadi membabitkan aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, JBPM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang menjalankan pencarian di beberapa sektor perairan Pulau Tepor.
Semalam, media melaporkan mangsa hilang selepas dipercayai terjun ke laut untuk mendapatkan semula jet ski yang hanyut.
























