PARIT BUNTAR: Pasangan suami isteri maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Telok Medan, dekat Bagan Serai hari ini.
Kejadian berlaku jam 4.42 petang apabila Perodua Myvi dinaiki pasnagan itu terbabit kemalangan dengan Toyota Innova, menyebabkan Sahbuddin Bakar, 65 dan isteri, Noraziyah Jahari,51, maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Jafri Md Zain mengesahkan kejadian itu dengan lelaki berusia 46 tahun yang memandu Toyota Innova cedera ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, anak sulung mangsa, Muhammad Zikri Sahbuddin, 31, berkata dia dimaklumkan mengenai kemalangan menimpa ibu dan bapanya itu ketika berada di rumahnya.
"Sewaktu sedang tidur seseorang datang dan memaklumkan ibu dan dan ayah kemalangan... saya dan adik hanya mampu tergamam," katanya.
Katanya, sebelum kejadian pagi tadi dia ada memaklumkan pada ibunya untuk membawanya keluar jalan-jalan pada sebelah petang.
"Waktu itu ibu sedang masak dan saya pula baru habis kerja dan minta untuk tidur sekejap.
"Tak lama lepas itu ibu maklum nak keluar dengan ayah sekejap tapi tak dimaklumkan ke mana," katanya ditemui media di Unit Forensik Hospital Parit Buntar, malam ini.
Tambah Muhammad Zikri, dia sedikit terkilan mengenangkan hajat ibunya yang berhasrat untuk makan daging dendeng ketika Aidiladha nanti, malah daging untuk itu juga sudah dibeli.
Sementara itu, jenazah suami isteri itu kini berada di Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan dijangka akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Masjid Titi Serong.

















![[VIDEO] Papan tanda harga stesen minyak tepi lebuh raya di Sungai Besi terbakar](/api/media/file/bhpapang_BHfield_image_listing_featured.var_1785168857.jpg)






