BH Online
Ringkasan Berita

5 peniaga rugi lebih RM28,000 ditipu tender palsu agensi kerajaan

MIRI: Lima peniaga kecil dalam bidang penjualan bunga dan hadiah kerugian keseluruhan RM28,160 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan tawaran pesanan atau tender tidak wujud menggunakan nama agensi kerajaan.
5 peniaga rugi lebih RM28,000 ditipu tender palsu agensi kerajaan

Gambar hiasan.

MIRI: Lima peniaga kecil dalam bidang penjualan bunga dan hadiah kerugian keseluruhan RM28,160 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan tawaran pesanan atau tender tidak wujud menggunakan nama agensi kerajaan.

Ketua Polis Daerah Miri, Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Miri menerima lima laporan polis berhubung kes itu pada Jumaat.

Menurutnya, semua mangsa berurusan dengan suspek yang menyamar sebagai pekerja agensi kerajaan dan menawarkan pesanan penghantaran 'door gift' kepada agensi terbabit.

"Modus operandi digunakan adalah dengan membuat permintaan barangan yang bukan daripada bidang mangsa sebelum memberikan nombor telefon pembekal yang kononnya dapat membekalkan barangan berkenaan.

"Mangsa kemudian diperdaya untuk membuat tempahan daripada suspek sehingga berlaku penyerahan wang secara dalam talian ke dalam akaun keldai," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan dengan agensi kerajaan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 10 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pesanan atau tender daripada agensi kerajaan atau swasta secara dalam talian.

"Dapatkan pengesahan melalui panggilan telefon atau hadir sendiri ke cawangan agensi terbabit sebelum berurusan dengan mana-mana pihak.

"Jangan mudah terpedaya dengan penggunaan kepala surat agensi kerajaan atau swasta kerana ia boleh dipalsukan," katanya.

Orang ramai juga digalakkan menghubungi National Pusat Maklum Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 sekiranya menjadi mangsa penipuan siber atau baru melakukan transaksi pemindahan wang ke akaun disyaki milik sindiket penipuan.

Video Terkini

Berita Berkaitan