BH Online
Ringkasan Berita

Mahkamah Tinggi tolak bantahan awal Mahmud Abu Bekir terhadap injunksi sementara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuching menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib terhadap injunksi sementara, dalam pertikaian kes injunksi berterusan membabitkan Cahya Mata Sarawak Berhad dan sembilan pihak lain.
Mahkamah Tinggi tolak bantahan awal Mahmud Abu Bekir terhadap injunksi sementara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuching menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib terhadap injunksi sementara, dalam pertikaian kes injunksi berterusan membabitkan Cahya Mata Sarawak Berhad dan sembilan pihak lain.

Pertikaian undang-undang itu dikaitkan dengan prosiding tindakan terbitan dan Lembaga Pengarah yang membabitkan syarikat berkenaan.

Sebelum ini, Cahya Mata berjaya memperoleh injunksi bagi menghalang Mahmud Abu Bekir daripada memfail atau meneruskan cadangan tindakan terbitan terhadap syarikat berkenaan.

Peguam, Satinder Sandhu yang mewakili Mahmud Abu Bekir, berkata Hakim Datuk Faridz Gohim Abdullah memutuskan bahawa bantahan anak guamnya mempunyai kecacatan prosedur, selepas mendapati mereka gagal memfailkan permohonan yang sewajarnya untuk mengetepi atau membatalkan injunksi ex-parte (sebelah pihak) itu mengikut Kaedah-Kaedah Mahkamah.

"Mahkamah mendapati bantahan yang kami kemukakan melalui hujahan bertulis tidak disokong oleh bukti afidavit, justeru tidak boleh berdiri sebagai cabaran yang sah terhadap injunksi berkenaan," katanya.

Sandhu berkata, mahkamah turut mengambil maklum bahawa defendan gagal mengemukakan notis bantahan yang sewajarnya, memandangkan hujahan bertulis hanya diserahkan pada hari pendengaran kes.

Mahkamah menolak bantahan awal berkenaan tanpa sebarang perintah mengenai kos, manakala injunksi sementara itu kekal berkuat kuasa hingga pelupusan permohonan injunksi inter partes (kedua-dua belah pihak).

Mahkamah menetapkan 8 Jun depan bagi Mahmud Abu Bekir memfailkan afidavitnya untuk membantah injunksi berkenaan.

Pada 2 April lalu, Mahmud Abu Bekir memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi susulan perselisihan faham dalam Lembaga Pengarah berhubung peranannya dalam struktur tadbir urus syarikat Cahya Mata Sarawak.

Beliau menuntut pengisytiharan haknya sebagai Pengarah, termasuk pengesahan bahawa beliau boleh menghadiri serta mengambil bahagian dalam mesyuarat Lembaga Pengarah, selain kejelasan mengenai bila beliau perlu menarik diri dalam perkara yang membabitkan potensi konflik kepentingan.

Mahmud Abu Bekir turut mencabar tindakan mengetepikan dirinya daripada mesyuarat Lembaga Pengarah dan jawatankuasa tertentu, di samping memohon akses kepada minit mesyuarat Lembaga Pengarah yang lalu serta arahan mengenai bagaimana agenda masa depan harus dirangka apabila isu undang-undang dibentangkan.

Bagaimanapun, Cahya Mata memperoleh injunksi ex-parte pada 30 April lalu bagi menghalang Mahmud Abu Bekir daripada memfailkan, memulakan atau meneruskan cadangan tindakan terbitan terhadap syarikat itu.

Tindakan terbitan membolehkan seseorang pengarah atau pemegang saham memulakan prosiding undang-undang bagi pihak syarikat, biasanya dalam keadaan yang syarikat didakwa mengalami kerugian akibat tindakan atau keputusan lembaga pengarahnya.

Video Terkini

Berita Berkaitan