KOTA KINABALU: Saksi ke-71 inkues kematian Zara Qairina Mahathir, hari ini mendedahkan kepada Mahkamah Koroner 'senarai' individu, pengguna dan pempengaruh media sosial yang didakwa memulakan naratif bunuh diri, menuduh ibu arwah 'toksik' dan menyebarkan kandungan diari arwah.
Saksi berkenaan yang juga ibu saudara arwah Zara, Nur Shira Abdullah, 46 mendedahkan perkara itu ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri yang bertanya mengenai dokumen diserahkan kepada peguam hari ini.
Nur Shira berkata, beliau sempat membuat tangkap layar beberapa komen di media sosial yang disebarkan sejak sebelum bermulanya inkues kematian arwah Zara Qairina pada September tahun lalu.
"Dokumen yang saya tunjukkan kepada pihak peguam adalah mengenai beberapa komen yang saya 'screenshot' di media sosial. Komen ini kebanyakan daripada beberapa akaun yang memulakan naratif bunuh diri, orang pertama mengeluarkan 'posting' ibu bapa 'toxic' dan bukti yang mereka peroleh daripada pihak 'authority'.
"Posting daripada 'influencer' yang bernama (nama individu) dan beberapa rakan beliau, dalam 'posting' dan komen itu mereka dengan terang dan jelas mengatakan bahawa mendapat bukti jisim dari pihak 'authority'.
"Kemudian terdapat satu akaun (nama akaun) di TikTok banyak memaparkan isi diari yang disebar di tangan mereka. Isi diari ini sama dengan inkues, mereka 'posting' semua ini sebelum inkues bermula lagi," katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Nur Shira berkata, semua hantaran di akaun media sosial itu memaparkan perkara yang sangat negatif terhadap ibu arwah Zara, Noraidah Lamat.
Katanya, pemilik akaun itu sudah memadam semua hantaran mereka selepas inkues bermula pada September tahun lalu, namun ada beberapa hantaran yang sempat beliau tangkap layar sebagai bukti akaun itu wujud.
Dalam keterangannya, beliau turut mempertikaikan pempengaruh media sosial dalam akaun Facebook yang mengakui menjadi orang pengantara guru dan sekolah terhadap beberapa saksi ibu bapa kanak-kanak dalam inkues berkenaan.
"Sedangkan beliau bukan siapa-siapa di sekolah itu. Setelah saya menyiasat kelayakannya, beliau berpendidikan ijazah dalam kaunseling tetapi bukan kaunselor yang bertauliah.
"Persoalan saya, kenapa pihak sekolah mengambil seseorang yang tidak bertauliah untuk memberi kaunseling kepada mereka yang terbabit, secara rasmi atau tidak, saya tidak dapat pastikan kerana semua 'posting' beliau sendiri menyatakan yang beliau melakukannya.
"Kedua, seorang doktor (menyebut nama) dari awal lagi sangat prejudis terhadap kami keluarga Zara. Antara posting beliau yang sangat memberi kesan dan tekanan kepada kami adalah mengenai 'posting' Zoothopia yang memberi gelaran membangkaikan kepada arwah Zara," katanya.
Beliau turut mendedahkan mengenai komen dan provokasi yang didakwanya dari guru di sekolah arwah Zara Qairina dan keluarga mereka.
"Kebanyakan komen mereka menyalahkan ibu Zara kononnya ibu Zara inginkan publisiti di atas kematian anaknya, (sebut nama guru) adalah antara cikgu yang paling lantang mengkritik keluarga kami diikuti ibu kepada (jawatan guru) yang menggunakan beberapa akaun.
"Antara komen yang saya tidak dapat lupakan adalah kematian yang membawa fitnah kepada seluruh orang, begitu juga beberapa komen daripada kawan-kawan mereka (sebut beberapa nama) yang sangat teruk bagi saya. Komen mereka mengatakan ibu Zara adalah pembunuh sebenar," katanya.
Terdahulu, dalam keterangan bertulisnya, beliau menyatakan hubungan arwah Zara dengan ibunya sangat rapat dan baik sejak kecil dan Zara selesa berada bersama ibunya serta berkomunikasi dengan baik seperti hubungan ibu dan anak yang rapat.
"Zara juga berkongsi cerita dan masalah dengan ibunya. Saya tidak pernah melihat pertengkaran serius antara Zara dan ibunya atau melihat Zara takut serta menjauhkan diri daripada ibunya," katanya.
























