BH Online
Ringkasan Berita

PERHILITAN pasang perangkap harimau, penduduk Kampung Sungai Mok lega

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang memasang perangkap bagi menangkap harimau belang yang dipercayai membaham lembu milik penduduk Kampung Orang Asli Sungai Mok, Rompin, kelmarin.
PERHILITAN pasang perangkap harimau, penduduk Kampung Sungai Mok lega

Kakitangan PERHILITAN memasang perangkap untuk menangkap harimau di Kampung Sungai Mok, Rompin. Foto ihsan pembaca

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang memasang perangkap bagi menangkap harimau belang yang dipercayai membaham lembu milik penduduk Kampung Orang Asli Sungai Mok, Rompin, kelmarin.

Pengarahnya, Yusoff Shariff, berkata operasi memasang perangkap dengan menggunakan kambing sebagai umpan bagi menarik perhatian harimau berkenaan mengambil masa kira-kira dua jam untuk disiapkan.

Beliau berkata, langkah itu diharap dapat melegakan kira-kira 800 penduduk Orang Asli Kampung Sungai Mok selepas hidup dalam kebimbangan sejak beberapa hari lalu terutama selepas kejadian seekor lembu menjadi korban harimau terbabit.

"Saya nasihatkan penduduk setempat supaya tidak keluar waktu malam terutama dalam ladang kelapa sawit bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Penduduk juga perlu mengurung ternakan dalam kandang yang sesuai terutama pada waktu malam, memasang bunyi bunyian serta unggun api berhampiran kandang lembu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKIA) Kampung Sungai Mok, Rosdi Mahadi, berkata harimau terbabit mula muncul di kawasan Kampung Sungai Mok dan FELDA Selendang Tiga sejak tahun lalu, malah sepanjang tahun ini sembilan ekor lembu yang dilepas bebas dalam ladang kelapa sawit di baham.

"Pada September tahun lalu penduduk Orang Asli terserempak dengan harimau berkenaan sedang menyerang tapir, selepas itu banyak kali penduduk melihat haiwan terbabit berkeliaran dalam ladang kelapa sawit. Penduduk mendakwa haiwan itu setinggi paras dada orang dewasa," katanya.

Beliau berharap usaha pihak PERHILITAN memasang perangkap itu akan membuahkan hasil bagi menjamin keselamatan penduduk serta pekerja ladang.

Rosdi turut menasihatkan penduduk supaya tidak keluar waktu malam, selain memantau pergerakan kanak-kanak bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Video Terkini

Berita Berkaitan