KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun ditahan kerana memiliki hidupan liar dilindungi tanpa kebenaran sah.
Pengarah Hidupan Liar Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, penahanan itu dibuat susulan risikan menerusi operasi pemantauan.
Beliau berkata, jabatannya bersama Biro Jenayah Hidupan Liar Bukit Aman menjalankan Operasi Khazanah bersepadu semalam di sebuah premis perniagaan di daerah Penampang.
"Pemeriksaan membawa kepada penemuan dan rampasan 22 burung yang dipercayai daripada spesies Murai Batu.
"Burung itu dipelihara dalam sangkar pelbagai jenis dan saiz tanpa permit atau lesen sah daripada Jabatan Hidupan Liar Sabah. Dua sangkar serta peralatan berkaitan turut dirampas," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Soffian berkata, lelaki itu akan disiasat mengikut Seksyen 41(2) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997 kerana memiliki hidupan liar dilindungi.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM30,000 dan tidak melebihi RM100,000, penjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, BERNAMA melaporkan, polis merampas pelbagai bahagian hidupan liar dilindungi bernilai lebih RM5.3 juta dalam serbuan di sebuah premis antik di Jalan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah, dalam serbuan jam 9.45 pagi semalam.
Komander Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/ Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd Zaki Ashar, berkata pihaknya menahan suspek berusia 53 tahun yang juga pemilik premis terbabit.
Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan 16 batang gigi taring disyaki daripada spesies babi hutan, sembilan batang gigi disyaki spesies harimau, 10 batang gigi disyaki spesies beruang, 13 biji batu landak, 394 keping sarang burung disyaki spesies burung walet seberat 2,243 gram.
"Siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengaku membeli sarang burung walet dan batu landak daripada pembekal di Lintas, Sabah tanpa lesen atau permit sah.
"Bahagian hidupan liar dilindungi itu pula dipercayai diperoleh daripada penduduk kampung di Tawau pada harga rendah sebelum dijual untuk pasaran tempatan sekitar Kota Kinabalu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaki berkata kesemua barangan itu disimpan tanpa permit daripada pihak berkuasa dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM5.32 juta.
Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) dan Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 Sabah.
























