JERANTUT: Hasrat pelajar Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) untuk mengisi cuti semester dengan memancing bersama sepupu berakhir tragedi apabila dia lemas ketika mandi di sungai berhampiran Kampung Jong Berlaboh, Tembeling Tengah, di sini.
Kejadian jam 11.40 pagi semalam ketika Meor Danish Abduh Midhat Abduh, 20, dikatakan pergi memancing bersama sepupunya, Syed Aiman Syed Zizan, 23, sebelum turun mandi di Sungai Tembeling, dipercayai kerana cuaca panas selain kecewa gagal memperoleh hasil memancing.
Menurut Syed Aiman, ketika mandi, mangsa menjerit meminta tolong kerana kaki kejang dan dia cuba menyelamatkan sepupunya itu, namun tidak pandai berenang.
"Kebetulan kaki saya juga tersangkut dalam pasir jerlus. Ketika itu kedudukan kami kira-kira dua meter sahaja, namun arwah semakin hanyut ke tengah sungai," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, dia berjaya naik ke tebing dan mendapatkan bantuan sebelum beberapa nelayan sungai serta penduduk tampil membantu menggunakan bot masing-masing.
Katanya, sebelum kejadian, arwah sendiri menghubunginya mengajak keluar memancing dan mereka sememangnya rapat kerana menuntut di institusi pengajian yang sama di Melaka.
Ibu mangsa, Sharifah Nazrah Syed Badrolzaman, 48, berkata dia menyedari perubahan sikap anaknya itu beberapa hari sebelum kejadian, malah sehari sebelum tragedi berkenaan, arwah yang tidak pernah memotong rumput di halaman rumah tiba-tiba melakukannya sendiri menggunakan mesin rumput.
"Sebelum keluar rumah pergi memancing, dia bersalaman dan mencium pipi saya berkali-kali. Arwah juga keluar masuk rumah sementara menunggu sepupunya tiba dan setiap kali itu, dia datang bersalam serta mencium saya," katanya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jerantut, Arshad Ayob, berkata kejadian itu dimaklumkan kepada polis pada jam 12.15 tengah hari semalam sebelum operasi pencarian awal dijalankan oleh penduduk kampung bersama pihak berkuasa.
"Mangsa ditemukan jam 1.05 tengah hari di lokasi kejadian sebelum mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah akibat lemas dan tiada sebarang unsur jenayah," katanya.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jong Berlaboh di sini kira-kira jam 10 malam tadi.
















