BESUT: Seorang bekas jurutera teknologi maklumat (IT) serta seorang rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki dadah serta menyimpan 12 kad pengenalan (MyKad) palsu.
Tertuduh tidak mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliyana Md Zukri.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh, Aman Rasid, 39, bersama Mohd Aiman Musa, 35, didakwa secara bersama memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 7.11 gram di sebuah rumah di Lot 2267 Kampung IKM Alor Lintang, Kampung Raja, kira-kira jam 10.05 malam pada 23 April 2026.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali.
Mahkamah membenarkan jaminan setiap tertuduh sebanyak RM3,800 dengan seorang penjamin.
Bagi pertuduhan kedua, Aman didakwa memiliki 12 keping MyKad palsu tanpa kuasa sah di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dengan satu pertuduhan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, namun jaminan itu tidak dibayar.
Mahkamah menetapkan 2 Ogos 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Najah Azhar, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Semalam, media melaporkan polis Terengganu menumpaskan satu sindiket pemalsuan MyKad yang turut terbabit dalam aktiviti dadah menerusi serbuan di Kampung Raja, Besut pada 23 April lalu.
























