KUALA LUMPUR: Seorang guru wanita dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini daripada tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajarnya berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu terhadap guru berusia 32 tahun berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal mewujudkan prima facie pada akhir kes pendakwaan.
"Pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan dalam kes ini. Oleh demikian tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan," katanya.
Guru berkenaan yang berada di kandang tertuduh kelihatan tenang ketika mendengar keputusan itu.
Mengikut pertuduhan pertama, wanita itu sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah, iaitu guru didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 15 tahun tiga bulan di dalam kereta di tepi jalan di Kuala Lumpur pada jam 8 malam, 23 Jun 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh juga disebat jika sabit kesalahan. Pertuduhan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama dalam sebuah kereta di perhentian bas di Kuala Lumpur pada jam 9 malam 23 Jun 2023 dan didakwa mengikut Seksyen 14(b) akta sama dibaca bersama Seksyen 16(1) yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dihukum sebat, sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Aisyah Mohamed Zanyuin, manakala tertuduh diwakili peguam Fadhli Sutris dan Datuk Ishak Mohd Yusof.
























