PORT DICKSON: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah kenderaan yang keluar dari persimpangan di kilometer 12.3, Jalan Pantai, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, kemalangan itu berlaku sekitar jam 9 pagi.
Ia membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh mangsa berusia 21 tahun dan sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta itu keluar dari simpang sebuah kawasan perumahan untuk memasuki jalan utama sebelum dilanggar di sebelah kanan kenderaannya oleh motosikal yang datang dari arah Taman Intan Perdana menghala ke Sunggala Gateway.
"Akibat kejadian, penunggang motosikal yang dalam perjalanan ke tempat kerja sebagai penjaga stor sebuah pasar raya mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Kata Maslan lagi, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.
























