BESUT: Rindu mendalam terhadap arwah anak yang maut dalam nahas mengorbankan 15 pelajar Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak tahun lalu menyebabkan Norinda Kasim, 50, terpaksa 'bercuti' daripada memasak hampir dua bulan.
Bagi Norinda, dapur rumahnya terlalu banyak menyimpan kenangan bersama arwah Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, yang sememangnya gemar memasak dan menjamu keluarga dengan masakan air tangannya.
"Saya ambil masa lama untuk kembali memasak selepas tragedi itu kerana tak sanggup berada lama di dapur disebabkan terbayang kenangan bersama kakak (panggilan mesra Nur Dalila).
"Kakak suka tanya mama nak masak apa, mama nak makan apa," katanya ketika ditemui di Kampung Baru Tok Dor, di sini.
Nahas berlaku 9 Jun tahun lalu itu berlaku apanbila bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI hilang kawalan dan terbalik, menyebabkan 15 pelajar maut.
Norinda berkata, sejak zaman persekolahan anak sulung dari tiga beradik itu memilih untuk melanjutkan pelajaran di sekolah menengah berdekatan rumah berbanding tinggal di asrama.
"Ramadan tahun lalu walaupun sudah menyambung pengajian di UPSI, tetapi sepanjang bulan puasa kakak ada di rumah kerana bercuti semester.
"Selalunya setiap kali menyambut Ramadan dan Aidilfitri suasana meriah kerana kami dapat berkumpul lima beranak, namun tahun ini hanya empat beranak sahaja," katanya.
Tambah Norinda, kini hanya bauan dari baju kurung kesayangan arwah menjadi peneman untuk menghilangkan sedikit kerinduan terhadap arwah.
























