BESUT: "Saya bersyukur kerana kecederaan patah bahu kiri sudah pulih sepenuhnya dan masih diberi kesempatan untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga tersayang," kata Nur Ain Najwa Mohd Ilias.
Nur Ain Najwa, 24, antara pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terselamat dalam nahas bas sewa khas mengorbankan 15 rakan sekampus di Gerik, Perak, 9 Jun tahun lalu.
Katanya, sehingga kini perasaan trauma masih menghantui dirinya setiap kali teringatkan peristiwa tragis itu walaupun tragedi berkenaan sudah berlalu lebih sembilan bulan.
"Ketika peringkat awal selepas kemalangan saya diberi kelonggaran untuk mengikuti kelas secara dalam talian jurusan Sarjana Muda Bahasa Arab dengan Pendidikan.
"Namun setelah kesihatan semakin pulih, saya kembali meneruskan pengajian semester kelima secara bersemuka pada Oktober tahun lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Kemuntong, di sini, semalam.
Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, disebabkan perasaan trauma masih ada dia memilih untuk menaiki kereta apabila pulang ke kampus.
"Namun ada sekali saya terpaksa menaiki bas kerana perlu menyelesaikan satu tugasan berkaitan dengan pengajian, saya pilih naik bas waktu pagi tidak berani lagi naik pada waktu malam.
"Saya mula rasa berdebar apabila bas bergerak laju kerana terbayangkan tragedi itu dan pilih untuk cuba tenangkan diri dengan istighfar," katanya.
Nur Ain berkata, dia juga berharap ahli keluarga pelajar yang terkorban terus kuat semangat meneruskan kehidupan mendatang.
"Kehilangan anak adalah sesuatu yang amat berat untuk diterima walaupun reda dengan pemergian mereka dalam perjalanan menuntut ilmu.
"Saya juga sering pesan pada diri sentiasa fikir positif, jangan terlalu berfikir tentang trauma yang dialami untuk menjaga kesihatan mental," katanya.
Katanya, walaupun sedih dengan apa yang berlaku namun dia tekad untuk meneruskan cita-cita murni sahabat terkorban itu menjadi seorang guru.
























