KUALA LUMPUR: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan lima rumah teres di Taman Ehsan Kepong, di sini, awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.30 pagi sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan lima rumah teres satu tingkat kelas A berkeluasan 20 x 60 kaki persegi (111.48 meter persegi) setiap satu.
"Seorang mangsa lelaki tempatan berumur 53 tahun ditemukan rentung di atas katil dalam bilik tidur pada jam 4.29 pagi.
"Kebakaran turut memusnahkan dua kenderaan iaitu Hyundai Getz dan Hyundai XG 250," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau juga berkata, sebuah rumah musnah sepenuhnya manakala yang lain mengalami kerosakan antara 20 hingga 80 peratus.
"Seramai 27 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dengan bantuan BBP Rawang, BBP Jinjang dan BBP Manjalara digerakkan ke lokasi.
"Kebakaran dapat dikawal pada jam 3.42 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 7.15 pagi.
"Kerja pemadaman sisa kebakaran masih dijalankan di lokasi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
























