BACHOK: Jeritan anak kecil berusia empat tahun berjaya menyelamatkan ibu dan abangnya daripada rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Sentosa, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tadi, kanak-kanak berkenaan, Muhammad Amir Al Farizqi Abdul Aziz mengejutkan ibunya, Normaizuara M Raduan, 43, dan abangnya, Muhammad Aqil Firdaus, 18, yang sedang tidur, selepas melihat api marak daripada bilik.
Normaizuara yang juga ibu tunggal turut lecur di muka dan lengan kiri ketika membawa keluar dua anaknya.
Normaizuara berkata, sebaik tersedar dia terus membawa keluar dua anaknya sehelai sepinggang sebelum melihat rumah dua tingkat yang disewa sejak tiga tahun lalu, hangus dijilat api.
"Anak yang berusia empat tahun gerak (kejut) saya kata api, api, masa saya terjaga tu api besar dah. Kami tak sempat selamat apa-apa, namun bersyukur sempat keluar dari rumah yang terbakar," katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Kebakaran turut memusnahkan Proton Satria dan wang tunai RM700 yang dikumpul Normaizuara untuk kegunaan anaknya, Aqil Firdaus yang berhasrat ke Kuantan, Pahang bagi mencari pekerjaan selepas menerima keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), semalam.
"Selepas dapat keputusan SPM, anak bercadang ikut kakak dia bekerja di Kuantan, Pahang, sepatutnya dia pergi Ahad ini," katanya yang masih trauma dengan kejadian.
Beliau berkata, anak pertama dan kedua bekerja di luar Kelantan, manakala dia menyewa bersama tiga lagi anak dengan kadar sewa RM300 sebulan dan bekerja di kedai makan di Kampung Telaga Bata.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd Zamizi Mohamad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 8.13 pagi dan kebakaran berjaya dipadamkan sejam kemudian.
Katanya, ketika tiba di lokasi kebakaran rumah dua tingkat jenis separa kekal itu sudah terbakar kira-kira 80 peratus kerana struktur rumah sebahagian besar daripada kayu.
























