LANGKAWI: Sebanyak 27 kucing yang dipelihara dalam sangkar mati dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Padang Gaung, Mukim Ulu Melaka, di sini, hari ini.
Wanita pemilik rumah ditemui pengsan manakala seorang lelaki melecur 30 peratus.
Dalam kejadian jam 8.30 pagi, semua kucing berkenaan ditemui mati, manakala tiga lagi dapat diselamatkan.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani, berkata pihaknya menerima panggilan jam 8.47 pagi.
"Wanita dan lelaki cedera diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha untuk rawatan lanjut.
"Pemeriksaan mendapati terdapat 27 kucing yang berada dalam rumah ditemui mati, manakala tiga dapat diselamatkan," katanya.
Mohd Zamri berkata, kebakaran dapat dikawal jam 9.58 pagi dan operasi ditamatkan jam 10.52 pagi.
























